3 Ibrah

Khamis, 4 Januari 2018



Teks : Nadia Bakar
Entri #44

Fuh! Akhirnya!
Di kala kawan-kawan saya dah berjaya habiskan kelas Asas Blog dan Penulisan dalam tempoh 44 hari, saya agak setakat ni saya sorang je yang ambil masa sampai 4 tahun sejak November 2013. (Hahaha) Nasib baik puan guru tak marah.

Bila saya renung balik, ada tiga ibrah penting yang saya dapat sepanjang tempoh 4 tahun yang lalu. Saya harap entri penutup kelas ini dapat sampaikan sesuatu yang lebih bermakna dan bermanfaat.

Entri kali ni panjang, lebih panjang daripada biasa. Harap tabah membaca sebuah bebelan.

IBRAH #1  
Empat tahun yang mengajar saya tentang pentingnya mempunyai tabiat yang betul dan tidaklah boleh bersandarkan kepada motivasi semata-mata kalau nak berjaya dalam apa saja yang kita sedang usahakan. Nak harap pada motivasi baru nak gerak, nak feel good dulu baru kerja jalan, memang kita tak perasan berapa banyak dah kita berjaya buang masa dengan cemerlang! Sesungguhnya buang masa tu sama dengan buang nyawa, buang kehidupan bukan? (Tak cakap orang, saya la tu
Sudahlah tak tahu bila expiry date umur sendiri, sewewang-wenangnya pula nak dibazirkan tak tentu fasal. Sedar-sedar dah meningkat usia, tapi banyak lagi benda belum capai ni.

Patutlah Allah sampai bersumpah demi masa dalam surah Al-Asr.

Boleh bayangkan tak kalau kita ni pergi kerja bila motivasi tengah tinggi melangit je. Bila motivasi ke laut Andaman, kita ponteng kerja. Agak-agak berapa lama lagi majikan akan simpan kita ni?

Brian Tracy ada menyebut:
"Perbezaan orang berjaya dengan yang tidak berjaya ialah mereka konsisten pada tabiat yang betul. Tabiat ialah perbuatan yang kita buat secara berulang-ulang. Jadi, perlu bina tabiat yang betul supaya dapat capai kejayaan yang kita impikan."

Contohnya,
44 entri dalam masa 44 hari.
1 hari mesti kena peruntukkan masa (bukan tunggu bila ada masa lapang)
sekurang-kurangnya 10 minit untuk tulis 1 entri.
Buat aktiviti ni setiap hari sampai 44 hari. Sampai masanya, siap!
Bila bergantung pada tabiat, kita akan usaha keras untuk buat. Tak sempat nak hilang motivasi diri pun.

Inilah kesilapan saya dulu.
Fikir tak cukup masa. Hanya fikir nak tulis entri bila ada masa lapang. Padahal saya yang mesti peruntukkan masa untuk menulis. Bukan tunggu bila lapang yang kita sendiri pun tak tahu bila yang lapangnya tu kan?

Mel Robbins pernah menyebut :
"If you really care, you will find the time."

Bamm!!!

Secara logiknya kita pun boleh faham macam mana hasil kerja orang yang sekejap nak buat itu, sekejap nak buat ini kan? Akhirnya, diri sendiri yang hilang motivasi. Lalu, janganlah cuba-cuba mencari alasan lagi ya.


IBRAH #2 
Masalah saya yang paling utama ialah mementingkan kesempurnaan dan takut untuk gagal. Ini antara sikap yang selalu buat saya lambat bertindak. Nak tunggu sempurna cantik molek dulu baru nak melangkah. Kesannya, tengoklah contoh blog ni. 44 entri pun ambil masa sampai 4 tahun. Punya lama buang masa bukan?
Sibuk dengan benda-benda yang tak berapa penting. Fikir konsep blog pun dah makan masa banyak sangat. Haih.

Padahal boleh je buat dulu sambil adjust sikit-sikit mana yang patut.
Langkah pertama tanpa mementingkan kesempurnaan itu jauh lebih penting.
Gagal? Kalau tak gagal, tu tandanya kita tak buat apa-apa.
Sedangkan kegagalan tu cuma sekadar kita belum jumpa jalan yang betul tapi kita dah kumpul pengalaman yang berharga. Sebab tu ada orang cakap pengalaman ialah guru yang sebenar.

Ada belajar sesuatu?


IBRAH #3
Terima kelemahan diri sendiri dan teruskan melangkah walau jadi murid yang terakhir untuk siapkan 44 entri.

Teringat tuan Aqif Azizan ada berkata :
"Lebih cepat kita terima hakikat, lebih cepat kita bersedia."

Walau lambat 4 tahun nak sedar diri ni, tetaplah kena bersyukur juga kan.
Ilmu mahal saya kira. Pengalaman yang benar-benar mengajar.

Pernah juga terlintas di fikiran untuk abaikan, buat tak tahu.
Tapi masalahnya selalu pula menghantui diri sendiri. Rasa ada hutang yang belum selesai. Ya, walaupun saya bayar untuk kelas ni, walaupun cikgu saya tak marah langsung saya lambat siapkan kerja, rasanya adab belajar itu lebih utama.
Alang-alang dah mula, marilah kita sudahkan sampai habis.

Lalu, terhasillah entri ni walau saya ambil sehari 10minit untuk menaip.
Taip padam, taip padam.

Dah hujung-hujung ni boleh la bagi sedikit ucapan?

Terima kasih banyak-banyak pada cikgu saya yang lebih selesa dengan panggilan Kak Mas atas tunjuk ajar. Memang saya rekemen Kelas Asas Blog dan Penulisan ni kepada sesiapa yang masih tercari-cari panduan untuk mula menulis di blog. Belajar yang asas ni, terus buat. Boleh terus hubungi Kak Mas untuk maklumat lanjut ya.

Pendapat peribadi saya, tak usah sibuk nak kejar ilmu yang lebih advance banyak sangat, takut kita rasa overwhelmed.
Akhirnya apa pun tak jadi. Lagi rugi besar kan? Masa pun dah tak boleh nak patah balik.

Paling penting ialah ilmu buat dan konsisten.

Saya sudahi entri terakhir ini dengan rasa syukur sebab berjaya juga habiskan.


Jumpa lagi dalam entri lain, tentang kecintaan terbaru saya!

 

Nadia Bakar© - Hidup Lebih Mudah Dengan Essential Oil Copyright © 2013