Minyak Wangi untukmu Suami

Khamis, 24 Mac 2016

Teks : Nadia Bakar
Foto : Nadia Bakar
Entri #39

Saya langsung tak perasan info berkenaan kematian suami seorang wanita yang dimaklumkan oleh cikgu Siti adalah tentang suami pelanggan minyak wangi kami.

Allah...
Subuh hari saya menangis terkenangkan beliau dan anak lelakinya yang berusia 5 tahun itu.

Terus saja teringatkan suami sendiri yang akan pulang daripada outstation esok.

Pandang wajah Aariz yang masih tidur, yang belum mengerti ayah bekerja di luar kawasan, makin bersungguh-sungguh pula airmata ini mengalir. Perit di dada. Sangat memilukan. Terasa jiwa kosong tiba-tiba.

Sejak Aariz semakin rapat dengan ayah, kemana-mana saja pun mesti dengan ayah. Hatta ayah nak pergi buang sampah pun dia nak ikut! Pernah juga lah dia sanggup pakai diaper saja teman ayah pergi buang sampah, dek sebab risau ditinggalkan ayah kalau dia ambil masa yang lama untuk pakai baju.

Setiap masa Aariz akan bertanyakan "Mana ayah bu?"
Celik mata waktu pagi, balik daripada rumah pengasuh, sebelum tutup lampu untuk tidur, memang itu soalannya sejak ayah tiada di rumah.

Maka setiap kali itu jugalah saya akan terangkan benda yang sama.
"Ayah balik Jumaat nanti InsyaAllah. Kita doakan ayah selamat sampai ya nak."
Dia hanya diam.

Tapi paling memilukan saya semalam bila pengasuh maklumkan Aariz agak moody. Waktu tengahari, suami pengasuh pulang ke rumah. Aariz beria-ia ingatkan ayahnya yang ketuk pintu sambil dia berlari ke pintu dan menjerit "Ayah! Ayah! Ayah!" Tapi hampa. Bukan ayah yang datang.

Saya tahan airmata depan pengasuh.

Bila dapat telefon ayah, Aariz sengih sampai ke telinga.
Sudah pandai cakap "Ayish lindu ayah" (Aariz rindu ayah)

Ayahnya pun menahan sebak di sana. Anak dah makin besar. Sudah pandai cakap rindu.

Bila saya kenangkan kisah puan Syikin dan anaknya, terasa diri terawang-awang, tak pijak tanah. Sungguh Allah sebaik-baik perancang yang kita sendiri adakalanya tak tahu apa hikmah yang Allah akan beri kan?

Kehilangan yang dihadapi puan Syikin memang terasa amat dekat di hati saya.

Puan Syikin sudah pilihkan minyak wangi untuk suami tercinta pada minggu lepas, sempena hari lahir suaminya yang bakal tiba bulan depan. Tapi ternyata Allah lebih sayangkan allahyarham. InsyaAllah ada hadiah lebih istimewa berbanding minyak wangi itu.

Sebentar tadi puan Syikin maklumkan yang anaknya demam pagi ni.
Allah.. Saya kira kerana anaknya rindukan ayah.

Serius saya rasa nak terbang pergi jumpa mereka dan peluk puan Syikin kuat-kuat! Semoga beliau dan anak sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

Mulut ini juga tak henti-henti bacakan Al-Fatihah untuk puan Syikin dan anaknya. Semoga mereka tenang dan kuat, InsyaAllah.

Daripada Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali.

Sesungguhnya, kematian itu menghidupkan hati saya yang lalai.
Astaghfirullahal'azim.



 

Nadia Bakar© - Hidup Lebih Mudah Dengan EO Copyright © 2013