Tips Minyak Wangi Untuk Bercuti!

Jumaat, 22 Januari 2016

Teks : Nadia Bakar
Foto : Google, Travalo.com
Entri #31

Hai.

Ada di kalangan kita yang susah hati minyak wangi bocor atau retak malah pecah bila nak berjalan jauh. Makin susah hati sebab tak mungkinlah tak bawa minyak wangi bersama kan? Kalau hari-hari memang pakai minyak wangi, sekali tak pakai terus rasa hilang mood dan kurang keyakinan diri. Hihi. Amboi dahsyatnya kesan minyak wangi ni. Nak buat macam mana, rutin kan? Lain orang, lain kegemarannya.

Kali ni saya nak kongsikan beberapa tips untuk persediaan sebelum berjalan jauh, khas untuk minyak wangi berharga anda!

   TIPS #1 - BAWA 1 MINYAK WANGI SAHAJA   

Sebaiknya kita pilih 1 jenis minyak wangi saja untuk bercuti. Pilih minyak wangi berdasarkan tempat yang kita akan pergi nanti. Katakan kita akan pergi ke tempat yang bercuaca panas, salah satu jenis minyak wangi yang sesuai adalah daripada jenis citrus, fruity, manis dan aromatik seperti D&G Light Blue.

Andaikata kita memang dah terbiasa dengan lebih daripada satu jenis minyak wangi untuk aktiviti-aktiviti yang berbeza, sila ikut tips yang kedua.

   TIPS #2 - ATOMIZER PERFUME   

Saya sangat mencadangkan untuk refill minyak wangi tersebut ke dalam atomizer perfume yang memang direka khas untuk minyak wangi.
Daripada harga semurah RM8 sehingga RM50+ mengikut saiz dan jenama. 

Kalau refill macam ni, sesuai nak usung 5 minyak wangi kegemaran anda! Hihihi. Saiz sekecil ini boleh isi sehingga 5ml, lebih kurang 65 kali semburan. Bergantung kepada jenis ya. Sila bertanya pada penjual.




   TIPS #3 - BALUT MINYAK WANGI   

Andaikata anda nak juga bawa minyak wangi saiz besar, malas nak refill sebab nak kena beli atomizer perfume, saya cadangkan anda balut minyak wangi anda dengan kain atau baju t-shirt yang sudah tidak dipakai lagi.

Ini bagi mengelakkan minyak wangi anda retak atau pecah, di samping dapat mengelak kejadian minyak wangi tertumpah di atas pakaian atau barangan berharga anda yang lain.

   TIPS #4 - BAWA MINIATURE    

Satu lagi cara yang praktikal ialah dengan membawa minyak wangi jenis miniature berbanding saiz besar. Anda tak perlu pening-pening nak refill lagi!

Saiz yang kecil dan sesuai dibawa ke mana saja!



Selamat bercuti dan berwangi-wangian! :)


Review Seminar Early Edukids : Rugi Kalau Tak Join!

Khamis, 21 Januari 2016

Teks : Nadia Bakar
Foto : Puan Siti Rohana Abd Rahman
Entri #30

Dulu saya fikir mendidik anak tak susah mana sebab saya rasa ianya adalah semulajadi. Senang cerita, mana-mana yang baik daripada mak abah saya dulu saya akan terapkan pada anak. Simple nya cara fikir! Hahaha.

Tapi, bila selalu ternampak perkongsian kawan-kawan Facebook tentang ilmu pendidikan awal kanak-kanak, hati saya tertanya-tanya dan semestinya nak tahu lebih lanjut. Apa yang best sangat ni sampaikan ramai yang sibuk kongsi sana sini? Ibu mana yang tak nak berikan yang terbaik untuk anak kan? Oleh sebab tahap nak tahu saya tinggi, saya terus mencari di Google. Banyak input berkenaan pendidikan awal kanak-kanak dan homeschooling! Tapi kebanyakannya daripada website atau blog luar negara.

Daripada pelbagai aktiviti bersama anak-anak sehinggalah kepada kesannya terhadap keluarga, semuanya positif dan mengujakan! Saling berkait kesannya; anak gembira, keluarga bahagia.

Sehinggalah pada suatu hari, Allah lorongkan hati saya untuk menyertai Seminar Early Education 101 Bangi yang hebat oleh speaker yang SubhanAllah memang hebat, Puan Siti Rohana Abd Rahman daripada Early Edukids pada 17 Januari 2016 yang lepas.

Sebelum tu dua orang kawan saya sudah pun menghadiri seminar ini dan maklumbalas yang mereka berikan juga bagus. Jadi, rugilah saya kalau tak rebut peluang kali ni kan?

Nadia Bakar, Early Edukids, ThinkerspaceNadia Bakar,  Early Edukids, Thinkerspace
Nadia Bakar, Early Edukids, Thinkerspace
Klik pada gambar untuk saiz yang lebih jelas.

   REVIEW TENTANG SEMINAR   

Jujur saya katakan, seminar ni sangat bagus. Bayaran sebanyak RM160 sahaja, tapi terlalu banyak ilmu yang bermanfaat diperolehi. Padat, ringkas dan memudahkan! Tanyalah apa saja, InsyaAllah Puan Siti akan jawab berpandukan pengalaman beliau mendidik empat orang anak secara early education dan homeschool selama 9 tahun. Memang tak bosan langsung seminar ni sebab Puan Siti sentiasa bersemangat dan energetic! Tak keterlaluan kalau saya katakan, nilai seminar ini sepatutnya ialah RM1600!

Lima topik utama yang Puan Siti sentuh bagi membina asas yang kuat untuk perkembangan anak melalui seminar ini ialah :

1) Mendidik anak mengikut perspektif Islam.
2) Teknik mengajar anak membaca dengan mudah dan menyeronokkan.
3) Cara untuk memantapkan memori ingatan anak.
4) Cara mendidik anak menjadi kreatif.
5) Cara mendidik anak menjadi orang yang gembira dan berkeyakinan.

Pada mulanya saya sangkakan seminar ni hanya mengambil masa setengah hari dengan bayaran semurah itu, rupa-rupanya sampai ke petang! Memang berbaloi-baloi lah kan. Siap dengan sarapan pagi dan makan tengahari pulak tu. Dapat buku nota dan goodie bag lagi! Dalam goodie bag tu ada beberapa bahan untuk aktiviti bersama anak seperti fur stick, fur ball, getah warna-warni dan lain-lain lagi. Puan Siti juga berkongsi beberapa idea cara guna setiap bahan yang diberikan. Memang semua ibu teruja, tak sabar nak balik buat aktiviti dengan anak! Siap dah terbayang-bayang seronok main dengan anak lah waktu tu!

Saya suka kelima-lima topik seminar ini sebab semuanya ilmu yang baru untuk saya. Syukur sangat Allah berikan peluang untuk hadir. Bukan setakat dapat ilmu, malah dapat berkenalan dengan ibu-ibu hebat yang lain. Memang seminar yang happening!

Lepas seminar pun kami masih boleh berkongsi ilmu melalui group whatsapp. Jadi, lebih mudah untuk sebarang proses troubleshooting and sharing gitu. Best kan?

Jadi, saya memang sangat sarankan kepada ibu-ibu sekalian untuk ambil peluang, satu hari yang berharga bagi menyertai seminar ini kerana teknik yang diajarkan oleh Puan Siti mudah dan praktikal untuk ibu dan anak-anak, InsyaAllah.

Ada ibu yang datang jauh dari Perak dan Perlis hari tu. Hebat kan?
Tak kurang juga ada ibu-ibu yang bawa anak kecil yang masih menyusu badan bersama.

Saya doakan Puan Siti sentiasa diberikan kesihatan baik yang berpanjangan supaya dapat berkongsi ilmu yang bermanfaat dengan lebih ramai lagi ibu-ibu hebat di luar sana!

Seminar di Bangi akan diadakan pada 14 Februari 2016.
Cepat-cepat rebut peluang ni ya!
Klik sini untuk mendaftar!

P/S : Puan Siti ni peramah, serius tak kekok bila borak-borak dengan beliau. Macam dah kenal lama pun ye jugak! :)



HYPEREMESIS GRAVIDARUM - Bukan Mabuk Biasa

Rabu, 6 Januari 2016

Teks : Nadia Bakar
Foto : Nadia Bakar
Entri #29

Assalamualaikum.
Sudah lebih tiga bulan saya tak dapat kemaskini blog dan proses untuk menamatkan latihan penulisan 44 entri dengan lebih pantas juga tergendala tanpa diduga. 

Siapa sangka, lepas Aariz dan suami saya demam, saya disahkan hamil 6 minggu. 
Sehari selepas demam Aariz kebah, saya mengalami loya dan pening. Terus teringat simtom-simtom yang sama juga saya hadapi sewaktu mengandungkan Aariz 3 tahun yang lepas. Trauma? Memang ada rasa trauma dan takut yang amat sangat sebab saya risau masalah Hyperemesis Gravidarum (HG) yang saya alami dulu akan berulang kembali atau lebih teruk lagi! 




   PENGALAMAN KEDUA   

Tiga bulan pertama saya mengalami HG yang teruk sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri pun. Apatah lagi untuk bekerja seperti biasa. Syukurlah majikan saya sangat memahami kerana beliau juga mengalami HG selama mengandungkan kedua-dua anaknya. Terus saja diluluskan permohonan saya untuk bercuti tanpa gaji selama sebulan. 

Sepanjang tempoh ini juga, saya tidak boleh terhidu sebarang bau masakan. Saya pasti akan muntah teruk tanpa mengira waktu. Kalau ibu lain pernah mengalami morning sickness, tapi saya whole day sickness! Terutamanya bau tumis bawang, sup dan makanan yang berminyak. Hatta, bau minyak wangi sekalipun! Kalau dulu saya sangat suka bau minyak wangi suami, sekarang suami langsung tidak dibenarkan memakainya lagi! Sabun mencuci pakaian juga terpaksa ditukar kerana saya tidak tahan dengan baunya. Kalau cium baju sendiri pun saya boleh muntah teruk sehingga mengakibatkan tekak saya luka. Sadis kan?

Bezanya kali ini, saya masih boleh menjamah sedikit makanan yang pedas dan masam seperti tom yam! Berbanding pengalaman pertama dulu, langsung tak boleh makan atau minum. Pasti akan muntah. Syukur Allah ringankan sedikit rasa sakit.

Tugas sebagai pengurus rumah juga terpaksa diambil alih sepenuhnya oleh suami. Syukur alhamdulillah beliau sangat memahami dan sangat membantu. Daripada tugas melayan Aariz sampai kepada menyiapkan bekal Aariz setiap hari. Basuh, sidai dan melipat baju juga dilakukan sepenuhnya oleh beliau tanpa mengeluh. Waktu ini lah baru teringat pesan seorang kawan dulu - "Kita bukan perlukan suami yang pandai bermanis mulut, tapi kita perlukan suami yang bertanggungjawab." 

Sehingga ke hari ini saya masih menghadapi masalah muntah yang tidak menentu dan adakalanya berlebihan. Waktu mengandungkan Aariz dulu, sebelum masuk ke bilik bersalin pun saya masih muntah! Bayangkanlah! 

Syukur teman-teman sekerja juga faham keadaan saya. Kalau rasa penat dan tak larat akibat muntah-muntah, saya boleh berehat. 

   TIPS UNTUK PENGHIDAP HG   

Saya faham, ada di kalangan kita yang menerima respon negatif daripada masyarakat sekeliling seperti diperli seolah-olah mengada-ngada saja. Itu tak boleh. Ini tak boleh. Pesan saya, maafkanlah mereka kerana hanya yang pernah mengalami HG pasti memahami situasi sebenar. HG ni tak boleh ditahan-tahan hatta dengan pil tahan muntah sekalipun kan? Kedua, dalam tempoh HG, kita hanya perlu yang positif-positif saja untuk meneruskan kandungan yang telah dianugerahkan kepada kita dan suami. 

Berikut adalah sedikit tips daripada pengalaman dan pandangan saya sendiri yang saya boleh kongsikan dengan anda yang mengalami HG. Siapa tahu boleh membantu?

#1- Redha dengan HG 
Nak tak nak kita mesti redha dahulu dengan kehendak Allah yang satu ini. 
Barulah kita boleh terus bertabah untuk menghadapinya.

#2 - Banyakkan Berdoa, Bersedekah dan Berzikir
Semestinya sebagai seorang muslim, kita kembali pada hakikat yang kita hanyalah hambaNYA. Tiada dan kekuatan melainkan dengan kekuatan Allah. Berdoa, mintalah sungguh-sungguh pada Allah semoga diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan ini. Siapa tahu, dugaan ini yang dapat menghapuskan dosa-dosa silam kita. 

Seperti yang kita sedia maklum, bersedekah juga dapat meringankan sakit. Jadi, banyakkanlah bersedekah ya. Nilai yang kecil atau besar bukan penilaiannya, tapi keikhlasan itu yang lebih utama.

Berzikirlah dengan nama Allah. Sepanjang tempoh HG, saya paling suka zikir Nabi Yunus. Percayalah, saat itu adalah saat yang kita rasakan sebenar-benar rasa zikir. Kalau selama ini kita lalai dalam berzikir, kali ni mesti airmata juga sama-sama mengalir sebab macam baru sedar diri bukan siapa-siapa tanpa Allah. Saya tak pandai nak huraikan, tapi itulah yang saya rasa. 

La ilaha illa anta. Subhanaka inni kuntu minaz zolimin.  
"Tidak ada tuhan yang disembah melainkan Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah orang yang berbuat zalim."

Tidak lupa juga zikir,

Hasbunallah wani'mal wakil. Ni'mal maula wa ni'mannasir.
"Cukuplah Allah sebagai penolong dan Allah adalah sebaik-baik pelindung."

#3 - Dapatkan Sokongan Ahli Keluarga dan Sahabat Rapat
Kita mungkin rasa tidak mahu menyusahkan orang kan? Tapi nak tak nak memang kita kena dapatkan bantuan mereka. Maklumkan pada mereka tentang keadaan kita. Kalaupun mereka tidak banyak membantu, setidak-tidaknya mereka maklum tentang hal kita.
Bayangkanlah, sepanjang HG saya langsung tidak boleh bau yang pelik-pelik? Tapi oleh sebab ahli keluarga saya memahami, terutamanya ibu saya, tidaklah timbul masalah kecil hati jika saya tidak tolong memasak sebagai contoh.

Maklumkan dan berkongsi dengan sahabat yang rapat dengan kita juga InsyaAllah banyak membantu. Mereka memahami dan sedia memberikan semangat dan kata-kata positif untuk kita. Percayalah! Antara pesan mereka yang saya masih ingat :

"Besar pahalanya."
"Siapa tahu bersalin nanti dipermudahkan Allah."
"Siapa tahu anak yang bakal dilahirkan nanti adalah anak yang bijak dan soleh."
"Di luar sana ramai orang yang menginginkan anak, tapi tak dapat. Sabar sikit ya."
"Bayangkan muka baby comel yang bakal dilahirkan nanti!"


Jadi, penting ke penting sokongan mereka ni? :)
Paling penting, jangan berseorangan dalam menghadapi HG bagi mengelakkan kemurungan yang kronik. Bukan kita saja yang akan mendapat kesan, malah bayi dalam kandungan juga.

#4 - Makanan Kering dan Air Kosong
HG memang sangat berkait rapat dengan jenis makanan yang kita makan. Salah pilih makanan memang jadi trigger untuk muntah, muntah dan muntah lagi sampai kita lembik seperti makanan yang berminyak. Lazimnya, makanan yang kering seperti biskut tawar dapat membantu meredakan loya.

Air kosong sangat penting untuk mengelakkan kita kekurangan air dalam badan. Memang ada yang muntah bila minum air kosong kan? Tapi nak tak nak, mesti juga minum. Akibat kekurangan air dalam badan boleh menyebabkan kita masuk wad kerana ianya berbahaya untuk kita dan kandungan.

#5 - Bekas Muntah
Oleh sebab saya muntah tak mengira masa dan mengambil masa yang lama untuk reda, suami sediakan bekas muntah yang dekat dengan saya supaya saya tak perlu bangun ke tandas berulang kali. Salah satu sebab adalah kerana saya pernah pitam dua kali di tandas! Sedar-sedar dah terbaring di lantai. Terima kasih suami kerana sanggup uruskan muntah saya!

Ini saja tips yang ingin saya kongsikan. Jika anda ingin menambah tips-tips lain mengikut pengalaman sendiri, boleh terus kongsikan di bahagian komen ya!

Kepada para ibu yang mengalami HG, jangan terlalu bimbang. Anda tidak berseorangan dalam menghadapi masalah ini. Saya doakan anda juga diberikan kesihatan yang lebih baik. Diharap tips-tips yang diberikan dapat membantu serba sedikit.

Jumpa lagi!



P/S : Sejak HG semakin baik, saya dapat hobi baru untuk meredakan emosi. Nanti saya kongsikan di entri lain.





 

Nadia Bakar© - Perfume Original Branded Copyright © 2013