Tahun Baru, Azam Baru!

Rabu, 1 Januari 2014

TEKS : NADIA BAKAR
FOTO : GOOGLE, MOHD AZMY OSMAN


Assalamualaikum dan hai semua!

Selama tahun baru dan selamat bercuti bagi mereka yang bercuti ya! Kawan-kawan yang terpaksa bekerja pada hari ini, tahniah saya ucapkan kerana anda hebat! Mana tak hebatnya, anda telah korbankan masa cuti anda untuk meneruskan amanah di dalam pekerjaan anda, terpaksa meninggalkan keluarga, terpaksa melupakan hasrat untuk ke mana-mana kerana tuntutan kerja kan? Jangan bersedih kerana hari bercuti bukan hanya hari ini kan?

Apa azam dan impian tahun baru anda? Dah pasang siap-siap? Dah tulis di mana-mana?
Tahun 2014 ni, tahun yang InsyaAllah akan berlaku perubahan besar di dalam hidup saya sekeluarga.
Besar impian saya, baik di dalam perniagaan, pekerjaan dan keluarga. Kalau dikira, tinggal 2 tahun saja lagi umur saya menginjak 30 tahun! Jadi saya mesti lakukan sesuatu untuk pastikan impian saya itu tercapai sebelum memegang angka 3 'series'. Wah! Bunyi macam gempak sangat kan? Tapi itu lah, kalau tak dari sekarang merancang, bila lagi kan? Apa yang penting ialah merancang dan usahakan! Yakin pada Allah, InsyaAllah berjaya!


Menurut kajian, azam dan impian yang ditulis pada kertas dan diulang-ulang baca akan sentiasa menjadi 'turning point' dan peringatan untuk mencapai azam kita kerana kita kerap memberikan isyarat kepada minda separa sedar (subconcious mind) untuk bekerja mengikut apa yang kita tulis. Dengan syarat, ada 'perasaan' untuk mendapatkannya! Bukan sekadar menulis tanpa rasa. Kenapa mesti ada perasaan untuk setiap azam yang ditulis? Azam yang ditulis dengan 'rasa' sentiasa menghidupkan imaginasi di dalam minda yang sekaligus memprogramkan minda separa sedar kita seolah-olah kita benar-benar sudah menggapainya! Sekaligus menguatkan jiwa kita untuk mencapainya!

Sebagai contoh, azam anda ialah untuk mendapatkan sebuah kereta. Cuba anda tulis di atas sekeping kertas tanpa membayangkan dan merasakan anda sudah mendapat kereta tersebut. Ianya hanya sekadar tulisan di atas kertas kan?

Satu rahsia yang baru saya belajar di seminar perniagaan yang saya hadiri pada 27 sehingga 29 Disember 2013 yang lepas ialah : "Sentiasa yakin dengan azam kita!" Buang segala keraguan! Ya! Jika terdetik sedikit pun, cepat-cepat campakkan keraguan itu. Praktis untuk sentiasa meletakkan keyakinan sehingga kita benar-benar yakin yang kita memang akan mencapai azam tersebut!

RAHSIA MENCAPAI SEBUAH AZAM

Tulis
Tuliskan di atas sekeping kertas semua azam yang diimpikan.

Gambar
Letak gambar bagi setiap azam. Contohnya sebuah kereta impian supaya lebih jelas lagi gambaran kita.

Tampal
Tampal kertas dan gambar tersebut di tempat yang paling mudah dilihat seperti cermin, ruang komputer, pintu peti ais, ruang kerja di pejabat, di dalam buku, atau pun di sebuah papan visi (vision board).

Hayati 
Sentiasa mengambil masa 2-3minit setiap hari untuk menghayati setiap azam yang anda lihat, baca (sebut sehingga didengari oleh telinga sendiri), membayangkan dan 'merasakan' impian tersebut! (Lebih kerap, lebih bagus)
Membayangkan dan 'merasakan' di sini ialah anda benar-benar rasa bahawa impian tersebut memang sudah digapai sekarang!

Minta pada Allah
Berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Letak emosi dalam setiap doa anda kerana anda betul-betul ingin mencapai impian tersebut kan?

Amal makruf, Nahi Mungkar
Laksanakan perintah Allah, tinggalkan setiap laranganNYA.
Seperti mana kita inginkan sesuatu daripada ibu ayah kan, di mana kita akan sentiasa berbuat baik terhadap mereka dan tidak melakukan apa yang mereka tidak suka. Begitu juga hubungan yang mesti dijaga dengan yang Maha Pemberi.

Teruskan Usaha
Adakalanya, ada saja halangan yang mendatang untuk mengejar sebuah azam kan?
Ingatkan diri, anda mesti terus melangkah sehingga tercapai azam yang diimpikan! Anda tiada pilihan jika anda ingin menggapainya! Iaitu, teruskan berusaha, teruskan langkah sehingga azam yang pada asalnya adalah sebuah azam akan tercapai walaupun mengambil masa yang lama! Ingat! Kejayaan hanya untuk orang yang tidak berhenti sebelum berjaya!

Sekadar itu yang ingin saya kongsikan sempena awal tahun 2014 ini. Semoga dapat memberikan manfaat kepada semua yang membaca ya!

NOTA KAKI : Sedang siapkan entry tentang seminar perniagaan yang saya hadiri pada 27-29 Disember yang lepas. Tak sabar nak kongsikan dengan anda!


 

Nadia Bakar© - Hidup Lebih Mudah Dengan EO Copyright © 2013