16 Ramadhan Kau Pergi...

Ahad, 28 Julai 2013


Innalillahi Wa Inna Ilaihi Roji'un...
Sesungguhnya kematian itu pasti.

Pagi Jumaat 27 Julai 2013 bersamaan 17 Ramadhan yang lepas, saya dikejutkan dengan berita pemergian teman rapat saya ketika masih menuntut dulu.
Allahyarham pergi selepas berbuka puasa pada hari Khamis (semalamnya).
Daripada cerita adik saya, arwah tiba-tiba saja lembik dan telah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
ALLAH... Semudah itu ALLAH mengambil nyawa kan? Tiba-tiba saja diambil nyawa tanpa sebarang penyakit atau petanda.
Kalau tidak silap, arwah meninggalkan seorang isteri dan 2 orang anak. Saya tak pasti kerana sudah lama kami terputus hubungan selepas arwah bertunang, seingat saya sekitar tahun 2006/2007 begitu.

Memang saya tersentak dan masih lagi terasa di hati atas pemergian arwah.
Arwah yang saya kenali ialah seorang lelaki yang hebat jiwanya. Kuat amal solehnya.
Bayangkanlah, arwah tak segan untuk membaca Al-Quran kecil ketika sedang menunggu bas tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang. Tapi tidaklah baca kuat-kuat.
Arwah seorang lelaki yang tak pernah tinggal solat sunat Witir. Saya masih ingat lagi arwah pernah berpesan dulu, jangan tinggalkan solat Witir. Kalau tak mampu nak buat 3 rakaat, memadailah dengan 1 rakaat. Biar amalan nampak sedikit, tapi berterusan.
Arwah pernah menuliskan doa selepas solat dan cara-cara untuk solat Witir untuk saya. Memang arwah seorang lelaki yang hebat di mata semua yang mengenalinya.

Ketika usianya 32tahun, saya kira masih terlalu muda untuk dia pergi, saya kira masih banyak lagi yang arwah ingin lakukan dalam hidupnya kan? Arwah ada anak-anak kecil yang mesti dibesarkan dengan sebaik mungkin, tapi siapa saya untuk menidakkan Qada' dan Qadar ALLAH kerana ALLAH itu lebih tahu, jauh lebih bijaksana di atas segala apa yang telah DIA rancangkan untuk hambaNYA.

Dari kejauhan, bila saya teringat pada arwah, hanya doa yang mampu saya hadiahkan. Sebagai teman yang pernah rapat dengan arwah dulu, saya masih dan akan terus bersedih dengan pemergiannya dan sentiasa mendoakan agar ALLAH menempatkan arwah di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh, serta mendoakan semoga ALLAH memberikan kekuatan kepada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga arwah.

Pemergian arwah betul-betul membuka mata saya untuk menjadi manusia yang lebih baik, yang jauh lebih baik daripada hari-hari semalam. Lebih baik dari segi amalan dan akhlaknya. Membuatkan saya lebih kuat terasa untuk menghargai setiap pemberian ALLAH pada saya. Keimanan, kesihatan, kewarasan, keluarga, rumah, anak, suami, pakaian, minuman, pekerjaan.. Ya ALLAH terlalu banyak untuk dihitungkan? Betapa ALLAH itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemurah dan Maha Kaya. Benar kata Imam Ghazali, benda yang paling dekat dengan kita ialah kematian, ibarat seperti urat leher dan leher saja dekatnya. Terlalu dekat kan?

Kita sendiri tak tahu bagaimana penyudahnya kehidupan kita. Semoga pengakhiran hidup kita kelak dengan cara yang baik (Husnul Khotimah) lagi diredhai ALLAH.

Kau pergi dalam Ramadhan yang mulia. Bulan di mana ALLAH mengangkat semua azab di kubur. Di tambah dengan malam Nuzul Al-Quran juga.
Al-Fatihah untukmu Hatim. Semoga rohmu ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Terima kasih yang tidak terhingga di atas segala nasihatmu selama kau masih di sini.
Sudah berakhir perjuangan hidupmu, teman. Semoga kau bahagia di sisi Ilahi.


 

Nadia Bakar© - Hidup Lebih Mudah Dengan EO Copyright © 2013