Dia Adikku...

Selasa, 28 Mei 2013

Assalamualaikum dah hai semua!

Sejak minggu lepas hati saya sentiasa tak tenang. Saya bagitahu suami, suami hanya boleh suruh saya bersabar dan terus berdoa. Baiklah, setiap saat saya teringat, saya pasti akan berdoa. Tak putus-putus doa saya pada ALLAH. Permulaan doa masih dapat ditahan rasa ingin menangis itu, namun seusai wajah diraup, pantas saja air mata ini membasahi pipi. Bukan saya tak nak cuba untuk kuat dan bersabar, tapi saya sama seperti kalian, sama seperti semua orang, saya hanya manusia biasa. Memang terpukul hati, terhenyak hati bila mengenangkan orang yang disayangi sedang menghadapi dugaan yang sangat hebat. Ya, saya menangis bukan kerana tidak bersyukur, bukan kerana menyalahkan takdir, jauh sekali kerana tidak tegar dengan dugaan ini. Tapi, saya menangis kerana dia Adik saya.

Adik yang sama-sama membesar selama dia 24 tahun ini. Adik yang sama-sama rasa susah, sama-sama rasa senang. Adik yang garang. Adik yang terlalu baik. Adik yang terlalu tinggi budi pekerti. Adik yang tidak pernah kenal erti penat. Adik yang terlalu tabah di mata saya. Manakan tidak, ward sudah menjadi rumah keduanya sejak sekolah menengah lagi. Adakalanya tidurnya tidak lena, tidak selesa kerana kesukaran bernafas. Sejuk seluruh tubuh menahan kesakitan, mengharapkan agar sesak dadanya menghilang. Saya nampak semua itu. Saya rasa apa yang dia rasa. Waktu majlis pernikahan saya pun dia tak dapat bersama-sama keluarga kerana ditahan di wad. ICU sudah menjadi tempat wajib baginya setiap kali sakit menyerang.

Malam tadi, suasana bungkam sebelum saya dapat melelapkan mata, saya menangis lagi mengenangkan adik. Aariz yang dalam pegangan pun memandang saya tanpa kata, riak wajahnya seolah-olah faham isi hati Ibu. Saya cuba alihkan pandangan ke kanan. Dia melentokkan kepala ke kiri untuk melihat wajah saya. Terus saja saya peluk Aariz.

"Aariz, Ibu risaukan Mak Lang Aariz. Kita sama-sama doakan Mak Lang cepat sihat ye nak..."

Itu yang saya ulang-ulang di telinga Aariz, sambil tangan ini kuat memeluknya. Aariz seolah-olah merelakan saya memeluknya agak lama begitu. Mungkin dia juga dapat rasa dari degup jantung saya yang bimbang kan.

30 Mei, lagi 3 hari adik akan menjalani proses pembedahan untuk membesarkan saluran pernafasannya. Mengikut perkiraan doktor pakar, nyawa adik hanya 50-50 saja. Lagi kuat esak hati saya mengenangkan kata-kata doktor pakar itu. Sekuat itu juga doa saya pohon semoga ALLAH permudahkan segala-galanya buat adik. Semoga kami sekeluarga dapat melihat wajah cerianya nanti. Semoga kehidupannya lebih menyinar nanti di samping suami yang setia di sisi nya yang baru saja dinikahinya 20 April 2013 yang lepas. Ah! Baru 1 bulan 8 hari mereka melayari bahtera rumahtangga kan? Suami yang terlalu bertanggungjawab pada mata saya, menikahi adik kerana rasa tanggungjawab, kerana rasa sayang. Suci benar hati suamimu, adik. Walaupun telah dimaklumkan bahawa adik tidak dibenarkan untuk mengandung atas sebab faktor kesihatan yang tidak mengizinkan kerana adik 100% bergantung pada ubat yang berunsurkan steroid, namun dia tetap juga dengan niatnya untuk menikahi adik. Apa lagi kata-kata yang sesuai untuk lelaki sebaik itu? Terlalu mulia hatinya.

Wajahnya tak pernah berduka. Dia hanya tahu senyum dan ketawa walaupun di hatinya ada 1001 rasa yang tak tergambarkan.

Semoga adik terus kuat dengan dugaan ini. Hanya doa, doa dan doa sahaja yang aku mampu lakukan. Semoga ada keajaiban yang akan muncul tak lama lagi. Bertabahlah adikku, kami semua sangat menyayangimu. Sungguh! Kekuatanmu kekuatan buat kami juga.





5 ulasan:

  1. Ya Allah.. sebak hati akak baca tu dear. Banyak2an bersabar ye. Semoga diberikanNYA kekuatan untuk menghadapi segala kemungkinan.

    Semoga adik sembuh seperti sediakala. Amin....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Thanks kak Safiena. Amiiin. Terima kasih juga di atas doanya.

      Padam
  2. semoga nani sentiasa di bawah rahmat yang ESA..sabar ye buat kak anim dan keluarga..insyaallah moga pembedahan 30 Mei berjaya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Amiiin... Terima kasih asha..

      Padam
  3. apa pun yang berlaku,mengadulah kepadaNya..Insyallah..Allah sentiasa menyayangi hambaNya..tahniah kepada nani di atas perkahwinannya..semoga suaminya tabah dalam menghadapi dugaan Allah...Subhanallah

    BalasPadam

Thanks For Your Comment!

 

Nadia Bakar© - Hidup Lebih Mudah Dengan EO Copyright © 2013